Blogger Templates

I made this widget at MyFlashFetish.com.

KELUARGA TERCINTA . .

Wednesday, 25 January 2012

HBML4403 KOMPETENSI DALAM BAHASA MELAYU



PENGUCAPAN AWAM


PENGENALAN

Menurut Ahmad Kamal (1992), pengucapan awam adalah satu proses bercakap dalam kalangan khalayak ramai atau satu kumpulan manusia melalui cara yang tersusun dengan tujuan untuk memaklumkan, meyakinkan atau menghiburkan pendengar. Ia sangat serasi dengan "mempersembahkan". Semasa pengucapan awam, terdapat banyak bentuk komunikasi yang boleh digunakan dan terdapat 5 elemen asas selalunya dinyatakan begini "siapa bercakap, mengenai apa, kepada siapa, menggunakan kaedah apa dengan kesan @ tujuan apa ? Pengucapan awam biasanya bertujuan menyampaikan maklumat, memotivasikan manusia untuk melakukan sesuatu atau menyampaikan cerita dan mampu menjadi satu medium yang berkesan. Seorang penyampai yang baik mampu mengubah emosi pendengarnya, bukan hanya menyampaikan maklumat semata-mata. Pengucapan awam ini merangkumi beberapa komponen termasuk ucapan motivasi, pembangunan kepimpinan, perniagaan, perkhidmatan pelanggan, komunikasi kumpulan yang besar dan komunikasi massa. 

Abdul Mua’ti Ahmad, (1994) dalam bukunya; Panduan Pengucapan Awam,  menyatakan bahawa “Pengucapan Umum menggunakan anggota komunikasi verbal dan bukan verbal”.


Siti Hajar (2008), pula menyatakan pengucapan awam adalah merupakan pelahiran bahasa dengan penuh makna melalui komunikasi lisan (suara dan perkataan) dan bukan lisan (anggota tubuh perucap). Pengucapan awam ini walaupun sukar dikuasai namun terdapat teknik tertentu bagi melatih dan memberi keyakinan kepada mereka yang ingin membabitkan diri dalam pertandingan pidato, debat atau syarahan. Seni pengucapan awam sama ada pidato, debat perbahasan, pembentangan, forum atau syarahan merupakan satu seni unik yang bukan semua orang berbakat menguasainya. Apa yang penting setiap mereka yang ingin menguasai seni pengucapan awam yang baik perlu melakukan latihan yang konsisten selain memberi komitmen yang tinggi untuk membolehkan mereka menghilangkan rasa gugup dan tidak yakin .

ELEMEN-ELEMEN PENGUCAPAN AWAM

Mesej
Tajuk pengucapan awam yang hendak disampaikan mestilah sesuai dan relevan dengan kandungan mesej yang hendak disampaikan. Mesej hendaklah dapat dirasai kepentingannya secara jelas oleh audien. Perkataan dan ayat hendaklah tepat serta dapat memberi gambaran yang tepat dan makna yang jelas. Bahasa yang digunakan juga mudah difahami. Selain daripada itu, contoh-contoh dan butir-buitr penyokong kepada mesej digunakan dengan baik. Mesej yang disampaikan perlu menggunakan gaya persembahan yang baik agar tidak menimbulkan kebosanan serta disusun dalam struktur yang jelas.

Audien
Manfaat asal pengucapan awam adalah tertumpu kepada audien. Oleh itu elemen audien akan diterangkan secara lebih terperinci.

Tahap umur audien perlu diketahui secara umum. Ertinya pengucap perlu tahu dari segi umur, kepada golongan manakah dia akan berucap nanti. Adakah audiennya nanti terdiri daripada remaja, anak-anak sekolah, golongan dewasa atau warga tua. Ini penting kerana tahap umur audiens mempengaruhi pemilihan istilah dan bahasa, contoh-contoh pembuktian serta penyusunan isi.

Jantina audien sama ada perempuan atau lelaki  atau terdapat percampuran jantina. Ini penting kerana ada isu-isu tertentu yang harus diucapkan secara berhati-hati kerana mungkin sensitif bagi golongan tertentu.

Bangsa audien adalah perkara sensitive seperti agama. Bagi negara kita yang terdiri daripada pelbagai bangsa, pembicaraan yang menyentuh isu bangsa juga hendaklah dibuat dengan berhati-hati. Oleh itu amatlah perlu diketahui terlebih dahulu siapa yang ada dalam kelompok audiens kita ini. Selain itu, item ini juga mempengaruhi bahasa yang akan digunakan dalam ucapan nanti.

Pekerjaan audiens perlu diketahui secara umum. Adakah audiens kita terdiri daripada golongan yang bekerja sendiri, dengan firma swasta atau kakitangan kerajaan ? Pekerjaan audiens mempengaruhi bahasa, contoh pembuktian dalam ucapan.

Seterusnya tahap pendidikan audiens mempengaruhi kemampuan mereka untuk memahami bahasa yang digunakan, pembuktian hujah serta contoh-contoh yang diketengahkan oleh perucap.

Akhirnya perkara yang perlu diketahui ialah tentang ideologi audiens yang juga merupakan perkara yang sensitif. Ambil tahu apa ideologi politik mereka. Jika boleh elakkan menyentuh persoalan politik dalam ucapan yang tiada perkaitan dengan isu politik. Lainlah kalau kita memang dijemput untuk membicarakan soal politik.

Kesimpulannya dapatkan seberapa banyak maklumat tentang audien dari segi bilangan, lingkungan umur, anggaran jantina, taraf perkahwinan, anggaran bangsa, latarbelakang sosial dan budaya, taraf pendidikan dan bahasa yang paling dominan digunakan, kerjaya, minat, tahap pengetahuan serta pengharapan. Semua makulmat ini dapat membantu untuk kita berperanan sebelum dan ketika membuat ucapan dan pemilihan fakta yang relevan.

Saluran (suara)
Semasa menyampaikan ucapan, kita menggunakan saluran lisan dan bukan lisan. Pengucapan lisan hendaklah dilahirkan bersama perasaan dengan mengubah nada suara berdasarkan konteks ayat. Ketika menyampaikan maklumat, nada yang sama digunakan sepanjang ayat. Apabila mengajukan soalan, nada yang tinggi digunakan. Apabila menyampaikan arahan, nada semakin menurun. Bagi saluran bukan lisan, gerak-geri badan dilakukan mengikut keperluan dan situasi.

Saluran (diam)
Merupakan alat saluran komunikasi semasa persembahan. Tujuannya adalah untuk menarik perhatian dan mengawal audien.


Saluran (imej)
Imej adalah sebahagian daripada persembahan. Imej mestilah sama dengan imej yang dipersembahkan. Imej menggambarkan cara anda menguruskan diri dan nilai. Imej dipengaruhi tiga faktor iaitu ketrampilan diri (fizikal, suara, gaya), ciri-ciri dan kualiti diri (berpengetahuan, berpengalaman dan boleh dipercayai), dan sikap diri (membentuk tingkah laku).

Pakaian
Pakaian merupakan perkara yang pertama dilihat dan dinilai. Ia menunjukkan kredibiliti dan member keyakinan kepada diri sendiri. Pakaian yang dipilih hendaklah selesa, sesuai dengan audien dan majlis, serta menyerlahkan kredibiliti. Pakaian yang keterlaluan sehingga mengganggu perhatian audien juga perlu dielakkan.

Pertembungan mata
Mata merupakan tingkap dan lautan perasaan. Pandangannya mengukuhkan mesej dan member keyakinan kepada audien. Ia merupakan perantara kepada pelbagai jenis perasaan serta berupaya menyatakan kepada audien tentang pentingnya audien kepada speaker. Audien juga akan merasa dihormati selain boleh mengetahui maklum balas audien untuk memperbaiki persembahan.

Mimik muka
Mimik muka adalah pusat pancaindera. Audien melihat kesungguhan anda. Ia menyatakan  ‘mood’ mesej yang disampaikan serta menggambarkan perasaan yang sesuai dengan mesej supaya tidak wujud konflik mesej yang boleh mengelirukan audien.

Pergerakan tangan
Pergerakan tangan amat penting dalam persembahan. Pergerakan yang sesuai dan semulajadi dapat mengukuhkan mesej. Pengucap yang baik akan dapat menggerakkan tangannya seperti instrumen dengan koordinasi yang baik dan saling mempengaruhi.


Badan
Posture, pergerakan badan yang baik boleh menarik perhatian dan member impak yang dramatik. Ia memperlihatkan minat, kesungguhan, keprihatinan dan sikap positif speaker kepada majlis dan audien.

Maklum balas
Maklum balas merupakan proses speaker menerima maklum balas semasa persembahan dan speaker bertindakbalas memperbaiki persembahan. Speaker perlu peka kepada maklum balas, meminta maklum balas, bertindak dengan maklum balas serta ulang penerangan untuk mendapat maklum balas.

Gangguan
Gangguan terbahagi kepada dua bahagian iaitu gangguan dalaman (speaker) dan gangguan luaran (audien). Gangguan dalaman merujuk kepada diri penyampai itu sendiri seperti kesihatan, kurang minat dan sokongan, prasangka psikologi, tidak membuat persediaan, kurang mahir serta tidak jelas dengan mesej yang hendak disampaikan. Gangguan luaran pula melibatkan penerimaan dan persepsi audien, kefahaman, kurang minat, prasangka psikologi, bunyi-bunyian, penerimaan negatif audien, serta tidak mendengar secar aktif.

Setting
Speaker bertanggungjawab tentang setting bilik atau tempat. Perlu mengetahui terlebih dahulu bagi menyesuaikan keadaan. Maklumat yang perlu diketahui ialah tentang saiz bilik, kemudahan yang ada, pencahayaan, susunan tempat duduk dan suhu bilik.

PERSEDIAAN AWAL PENGUCAPAN AWAM

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memilih tajuk pengucapan awam yang sesuai. Sekiranya  dikehendaki membuat pengucapan awam, dan kita akan diberikan tajuk atau skop tajuk, maka langkah pertama ini menjadi lebih mudah berbanding jika tidak mempunyai idea langsung berhubung tajuk pengucapan awam. Sebelum memilih tajuk, kita haruslah membuat sedikit kajian mengenai siapakah yang menjadi pendengar? Apakah latar belakang mereka? Dengan membuat kajian mengenai latar belakang pendengar, ia memudahkan untuk memilih tajuk yang sesuai dan juga pendekatan yang sesuai. Sebagai contoh, sekiranya pendengar adalah Dalam kalangan pelajar sekolah menengah, maka tajuk dan pendekatan yang digunakan biarlah sesuai dengan tahap pemahaman dan penerimaan mereka. Sekiranya tidak diberikan apa-apa tajuk, maka pilihlah tajuk yang sesuai dan. Pilih tajuk yang mana maklumat mengenainya mudah diperolehi. Sebagai contoh, anda adalah seorang pegawai kewangan, maka pilihlah tajuk yang bersangkut paut dengan aspek kewangan, dan jangan pula cuba-cuba bercakap mengenai perubatan. Pilih tajuk yang mudah untuk kita kuasai kerana sekiranya berdiri sebagai pengucap awam untuk meyampaikan maklumat atau untuk mempengaruhi orang lain, maka sekurang-kurangnya perlu lebih tahu berbanding pendengar. Dengan cara ini juga, ia dapat membantu semasa menyampaikan ucapan. Selain itu. kita juga boleh memilih tajuk berhubung isu semasa kerana maklumatnya lebih mudah diperolehi dan pendengar akan tertarik untuk mendengar. Kalau boleh, cari satu tajuk yang mudah tetapi menarik. Pastikan juga terdapat sesuatu yang baru untuk dikongsikan di dalam maklumat yang ingin sampaikan supaya pendengar akan terus mendengar.

Perkara kedua adalah penyediaan teks ucapan awam sekiranya diberi masa untuk membuat persediaan. Di dalam teks ucapan ,selitkanlah unsur-unsur jenaka, atau mungkin pantun, atau baris-baris sajak sebagai daya penarik atau gimik. Ia juga salah satu cara membolehkan pendengar terus mendengar ucapan anda. Pastikan ucapan mempunyai kata-kata aluan sebagai pendahuluan, isi kandungan dan seterusnya penutup. Beri tekanan kepada isi yang ingin sampaikan supaya pendengar dapat memberi perhatian setiap kali menyampaikan isi kandungan baru. Sebagai contoh "...persoalan pertama yang ingin saya kupas adalah......", atau mungkin juga "....hujah saya yang pertama adalah bertunjangkan .......". Ia bukan sahaja memudahkan penyampaian ucapan dengan lebih teratur dan tersusun, malahan pendengar atau panel juri juga dapat mengenal pasti apakah sebenarnya yang ingin disampaikan. 

Dalam proses penyediaan teks ucapan, terdapat dua perkara utama iaitu sumber maklumat dan fokus tajuk. Andaikan sekarang telah mengenal pasti apakah topik atau subjek untuk diucapkan, bagaimanakah cara untuk mencari isi ucapan ? Jangan tergesa-gesa untuk ke perpustakaan. Dapatkan sekeping kertas atau buku nota dan pen. Renung dulu sejenak akan subjek atau topic tersebut. Kemudian catatkan segala apa yang terlintas dalam pemikiran. Mungkin kita pernah terbaca mengenainya atau mendengar daripada orang lain. Katakanlah kita diminta menyampaikan sebuah ucapan mengenai penyalahgunaan dadah. Tentu  pernah mendengar mengenainya daripada kawan-kawan atau membacanya melaui akhbar atau memang pernah menyaksikan sendiri kejadian tersebut. Seterusnya rujuklah kepada bahan-bahan diperpustakaan atu melayari internet. Maklumat boleh dirujuk dalam buku, jurnal, ensiklopedia, majalah, makalah, risalah dan juga akhbar asalkan maklumat tersebut berkaitan dengan tajuk.

Setelah memperoleh maklumat yang mencukupi, focus topic hendaklah dibuat agar masa yang diperuntukkan sesuai dan sasaran maklumat yang hendak disampaikan tercapai bagi pengetahuan audiens.

Sekiranya mampu, maka boleh menghafal teks ucapan awam. Tetapi ramai yang kurang mampu berbuat demikian. Maka apa yang boleh dibuat ialah biasakan diri dengan tajuk ucapan awam dan carilah maklumat sebanyak yang boleh mengenainya. Oleh yang demikian idea tidak akan putus apabila bercakap mengenainya. Selain itu, yang biasa dilakukan ialah dengan mengingat kata kunci di dalam teks ucapan. Setiap perenggan teks ucapan yang telah sediakan, buatlah satu kata kunci. Maka ia akan membantu mengingati apa yang perlu diucapkan. Selain itu, kad-kad kecil juga boleh disediakan. Ia amat penting lebih-lebih lagi jika kita mempunyai masalah menggigil apabila bercakap dalam khalayak ramai. Sekiranya memegang teks ucapan yang dicetak di atas kertas A4 yang besar, maka kesan menggigil itu lebih mudah dilihat dan ia akan menambah kegugupan .. Jadi, berusahalah untuk menyediakan kad-kad kecil bagi teks ucapan kemudian bacalah teks tersebut berulang kali.

Kita perlu tahu menggunakan intonasi dengan baik. Di mana perlu menjerit menegaskan hujah dan di mana perlu merendahkan suara. Hal ini amat penting kerana sekiranya tidak menggunakan intonasi yang betul ditempat yang betul, maka ia akan menunjukkan kepincangan di dalam pengucapan awam. Bagi mereka yang baru berjinak-jinak di dalam pengucapan awam, tandakan pada teks ucapan di mana perlu menggunakan intonasi tinggi dan rendah. Bahasa tubuh seperti mimik muka, pandangan mata dan pergerakan badan juga membantu menyampaikan pengucapan awam dengan baik. Tidak lupa juga senyuman.

Semasa membuat pengucapan awam, kita juga mungkin tidak mempunyai keyakinan diri. Pendengar yang ramai memenuhi dewan boleh menggugat keyakinan. Sebagai permulaan, apa yang boleh dilakukan ialah pandang seseorang yang dikenali seolah-olah hanya bercakap dengannya. Namun, 'eye contact' amat penting semasa pengucapan awam, maka sesekali perlu mengerling pendengar yang lain (terutamanya juri jika ada) tetapi jangan pandang tepat di mata kerana ia boleh menambah kegugupan. Lama-kelamaan, semua ini bukanlah satu masalah lagi. Sebenarnya gugup adalah perkara biasa yang dialami oleh semua pengucap awam, cuma masing-masing ada cara tersendiri untuk mengatasinya.

KESIMPULAN
Pengucapan awam merupakan satu kemahiran yang boleh dipelajari oleh semua orang dan menjadi laluan untuk mencapai kejayaan. Perucap yang cemerlang merupakan perucap yang sentiasa berupaya dalam menyampaikan setiap ucapannya dengan baik dan berkesan tanpa mengira audiens, suasana, dan saluran berucap. Adalah amat perlu bagi  pihak yang berwajib menganjurkan kursus dan bengkel pengucapan awam agar kemahiran ini dapat terapkan kepada segenap lapisan masyarakat bagi melahirkan modal insan yang berwibawa dan mampu mendepani cabaran dengan penuh keyakinan.
CONTOH TEKS PENGUCAPAN AWAM

1MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN, laungan yang tidak asing lagi meniti dari bibir ke bibir didengar dari telinga ke telinga dihayati dari hati ke hati, begitu serasi dengan agenda inovasi negara bagi melahirkan bakat berdasarkan semua rakyat Malaysia.

Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih pengacara majlis, yang saya hormati dif-dif kehormat menyeri majlis, saf juri yang berpaksikan keadilan, saudara penjaga masa yang setia, rakan-rakan seperjuangan yang saya geruni seterusnya hadirin yang saya muliakan.

Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara;  
Assalamualaikum mulanya kata,     
Saya sembah pembuka bicara.                        

Tinggi-tinggi pohon pulasan,
Tinggi lagi si pohon ara,
Rai kreativiti realisasi wawasan,
Inovasi menjana 1Malaysia

Sebelum madah bersulam indah, sebelum fakta menyusur kata, izinkan saya mendefinisikan secara literal mahupun konseptual, agar yang kabur dijelaskan yang gelap diterangkan. Inovasi secara literalnya menurut Kamus Dewan Edisi Empat ditakrifkan sebagai sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem dan lain-lain.

Dalam konteks yang lebih dekat menurut Yayasan Inovasi Malaysia inovasi dapat digambarkan sebagai kreativiti yang dilaksanakan. Inovasi adalah satu proses menempatkan idea kepada amalan. Inovasi menambah nilai idea dan jika idea diibaratkan sebagai benih, maka inovasi adalah pokoknya. Menjana menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu ditafsirkan sebagai menghasilkan atau mengeluarkan.

1Malaysia pula menurut buku kecil 1Malaysia terbitan Pejabat Perdana Menteri, adalah satu gagasan memupuk perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum berteraskan kepada beberapa nilai-nilai penting. Maka adalah dirumuskan bahawa inovasi menjana 1malaysia secara konteksnya dapat ditafsirkan sebagai KREATIVITI YANG DILAKSANAKAN MENGHASILKAN GAGASAN PERPADUAN RAKYAT MALAYSIA.

Hadirin yang saya muliakan, Tiada tunjang akar, pokok tidak tegak berdiri, tanpa tunjang hujah, pengucapan saya tidak bererti. Hujah saya yang pertama adalah berteraskan bagaimana inovasi mampu menjana 1Malaysia. Sebelum langkah diorak lebih jauh, biar kita kupas apakah itu 1Malaysia.

1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 tercapai. Dibawah formula ini, konsep 1Malaysia akan terlaksana dalam dua aspek utama iaitu Penerapan Teras-teras Perpaduan dan Penerapan Nilai-nilai Aspirasi. Tanpa kedua-dua aspek ini maka gagallah formula 1Malaysia.

Namun,
Patah rotan tali bersilang,
Batang meranti rimbun berjejal,
Langkah pahlawan ditengah gelanggang,
Berpantang mati sebelum ajal

Hadirin yang saya muliakan,
Tumpuan pada hari ini adalah kepada aspek kedua pelaksanaan konsep 1Malaysia iaitu Penerapan Nilai-nilai Aspirasi di mana dapat saya buktikan disini bagaimana inovasi mampu menjana 1Malaysia. Ia dapat dilihat di mana budaya inovasi itu sendiri merupakan salah satu daripada 8 nilai-nilai aspirasi yang menjadi tunjang kepada aspek Penerapan Nilai-nilai Aspirasi yang akan merealisasikan 1Malaysia.

Melihatkan bahawa budaya inovasi ini merupakan salah satu daripada nilai-nilai aspirasi tersebut, jelaslah bahawa inovasi akan menjana 1Malaysia. Inovasi adalah asas kepada pertumbuhan dan kemajuan negara sebagai pemangkin yang menentukan acuan dan kepantasan kita. Bagi Malaysia, ia merupakan teras peralihan kepada ekonomi yang diterajui teknologi dan penting dalam mengekalkan kelebihan daya saing negara.

Perubahan yang berlaku hari ini memerlukan kerajaan dan industri meletakkan inovasi serta daya kreatif sebagai faktor utama mencapai anjakan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan. Dalam penerapan budaya inovasi, rakyat Malaysia perlu mencuba perkara baru dan berinovasi dalam apa jua lapangan. Kita perlu dikenali sebagi individu-individu yang mampu menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing.

Kita mesti berani berubah untuk kebaikan, berani mencari penyelesaian baru dalam menangani masalah dan sentiasa bersedia untuk menjadi perintis. Betul, kita lah. Jangan selalu hanya mengharap pada orang lain.

Tangan digarap suka berkebun,
Tebang nenas di tepi paya,
Jangan diharap setitik embun,
Kena panas keringlah ia.

Hadirin yang saya muliakan, Nah, kita telah lihat bagaimana inovasi menjana 1Malaysia. Kini hujah saya yang kedua akan berteraskan bagaimana penerapan inovasi itu sendiri ke arah merealisasikan gagasan 1Malaysia. Dalam usaha memastikan inovasi menjana 1Malaysia, pelbagai langkah turut diambil. Jangan seperti tin yang kosong, berbunyi lebih isi tiada.

Malaysia Inovatif 2010 telah dilancarkan bagi mewujudkan masyarakat kreatif dan berinovatif bagi memperkasakan negara. Ia merupakan kick start pencetusan idea-idea inovasi ke segenap lapisan masyarakat dari pencipta dan saintis sehingga kepada masyarakat akar umbi. Selain itu, ia merupakan satu kaedah bagi memberi suntikan inovasi dan kreativiti ke dalam masyarakat melalui pembangunan ekosistem yang berupaya melakukan perubahan ke arah itu. Inovasi telah diletakkan dilandasan yang betul dalam memajukan ekonomi negara termasuk memberi fokus kepada k-ekonomi. Selain itu, Malaysia telah melengkapkan gagasannya dalam bidang inovasi dengan kewujudan Pusat Inovasi Negara dan Dasar Inovasi Negara. Antara program-program yang direncanakan bagi menyemarakkan inovasi termasuklah 1Malaysia Innovation Tournament dan Festival Malaysia Inovatif.

Tidak ketinggalan juga MyIdeas yang menjadi platform di mana kreativiti rakyat Malaysia diiktiraf dan diberi ganjaran di mana idea yang terbaik akan direalisasikan menjadi kenyataan. Ia juga menggalakkan dan menghimpun idea-idea daripada setiap lapisan masyarakat dan memanfaatkan idea-idea tersebut menjadi amalan terbaik dengan objektif untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Malaysia secara keseluruhannya.

Hadirin yang saya muliakan,
Inovasi dan kreativiti sebenarnya merentasi semua lapisan masyarakat dan merangkumi semua aspek kehidupan, pembangunan dan kemajuan. Ia melibatkan penemuan yang memudahkan proses kerja dan dalam masa yang sama meningkatkan produktiviti atau mutu hasil kerja secara ketara. Inovasi menjadi pemacu ekonomi negara dalam menghadapi cabaran-cabaran global dewasa ini.

Hadirin yang saya muliakan,
Kita telah pun melihat bagaimana inovasi diterapkan di dalam masyarakat segenap lapisan. Sekarang, hujah saya yang ketiga adalah berteraskan kepada pencapaian inovasi negara.

Malaysia telah melonjak 3 anak tangga berbanding kedudukan tahun 2007. Singapura telah jatuh ke tangga 17 berbanding tangga 16 sebelumnya, Thailand menurun ke tangga 58 daripada tangga 53 sebelumnya dan Indonesia pula kekal di tangga 74. Global Innovation Output Index pula meletakkan Malaysia di tangga ke 30 daripada 132 negara manakala Global Innovation Input Index meletakkan Malaysia di tangga ke 29 daripada 132 buah negara. Selain itu, Malaysia ditempatkan pada kedudukan ke 24 daripada 133 negara bagi kecanggihan dan inovasi perniagaan oleh Forum Ekonomi Dunia di dalam Laporan Daya Saing Global 2009-2010. Kedudukan ini telah mengatasi New Zealand pada kedudukan ke 27, China pada kedudukan ke 29 dan Itali pada kedudukan ke 34.

Namun begitu, kedudukan ini mampu ditingkatkan lagi melalui pembudayaan inovasi di kalangan sektor awam dan swasta.kita tidak harus mudah berpuashati dengan pencapaian pada hari ini. Biarpun ia sesuatu yang boleh dibanggakan, masih banyak yang perlu kita kejar ke arah mencapai Wawasan 2020. Kerajaan telah memperkenalkan prinsip 1Malaysia sebagai senjata bagi mempertingkatkan prestasi yang mana inovasi adalah sebahagian daripadanya.

Apa guna kepuk di ladang,
Kalau tidak berisi padi,
Apa guna senjata di pinggang,
Kalau tidak berani mati.

Pada keseluruhannya negara berada pada kedudukan yang baik berbanding dengan kebanyakan negara di rantau ini dari aspek inovasi. Kajian Economist Intelligence Unit yang diterbitkan dalam bulan April 2009 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke 31 daripada 82 buah negara dalam prestasi indek inovasi.

Hadirin yang saya muliakan,
Kesimpulannya telah saya kupaskan pokok pengucapan awam inovasi menjana 1Malaysia melalui 3 teras hujah iaitu pertama bagaimana inovasi mampu menjana 1Malaysia,  kedua bagaimana penerapan inovasi itu sendiri dalam masyarakat Malaysia ke arah merealisasikan gagasan 1Malaysia dan ketiga pencapaian inovasi negara.

Jelas sudah, inovasi menjana 1Malaysia. Tuntasnya, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan akan menjana satu transformasi ketara, kearah sebuah negara Malaysia maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada pandangan dunia.

Anak dara menumbuk pandan,
Membuat kuih hidangan kenduri;
Ilmu yang baik jadikan teladan,
Segala yang buruk simpan ke tepi.

Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta

Sekian saya akhiri pengucapan awam saya dengan wbt.

                                                                                   APENDIKS

RUJUKAN / REFERENSI

Abdul Mua’ti Ahmad, (1994). Panduan Pengucapan Awam.
Dewan bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (2001). Teori & teknik ucapan berpengaruh.
Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Dr Adenan Ayob  (2010), HBML4403 Kompetensi Dalam Bahasa Melayu.
Kuala Kumpur: Open University Malaysia.

Carnegie, D. (2000). Cara cepat & mudah berbicara efektif: Teknik modern untuk
komunilasi yang dinamik (Terjemahan oleh Ana Budi Kuswadani SS). Jakarta: Pustaka Delapratasa.

Fletcher, L. (1995). How to design and deliver a speech (5th. Edition). New York:
 HarperCollins College Publishers Inc.

Kulwindr Kaur Sidhu (2006). Pengucapan awam dan kemahiran persembahan.
Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Maimunah Osman (2000). Pengucapan Awam yang Berkesan.
Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara.

Md Izuddin Ali & Zetty Zahureen Mohd Yusoff (2005). Berucap dengan yakin.
Batu Caves, Selangor: PTS Millennia Sdn. Bhd.

Rahmat Ismail (2000). Pidato & berpidato: Seni dan teknik. Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Sallehuddin Hj. Mohd Noor, Jallaluddin Hj. Mohd Noor & Ishak Hj. Abdul Rahman
            (2003). Pengucapan awam. Kuala Lumpur: Thomson Learning
 (a division of Thomson Learning Pte. Ltd.)

Zawiyah Mohammad Yusof (2009). Kemahiran Komunikasi.
 Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


1 comment:

  1. Terima kasih . Maklumat yang sangat membantu . Tambahlah lagi maklumat tentang nota-nota pelajaran OUM yang lain .

    ReplyDelete