Blogger Templates

I made this widget at MyFlashFetish.com.

KELUARGA TERCINTA . .


Thursday 26 January 2012

HBME1203 PENDIDIKAN MORAL TAHUN 1

Soalan (a)
Terangkan dengan contoh-contoh yang sesuai isu-isu yang menimbulkan masalah disiplin dan moral di kalangan pelajar sekolah.


MASALAH MORAL DI KALANGAN PELAJAR SEKOLAH:
          
Pengenalan
Kebelakangan ini terlalu banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan masalah moral yang melibatkan pelajar sekolah atau khususnya dipanggil golongan remaja. Pelbagai andaian, hujah, cadangan, program dan aktiviti bagi menangani masalah moral ini diutarakan. Perlakuan sosial yang negatif dalam bentuk devian sosial tidak seharusnya merupakan satu petunjuk ke atas kelemahan masyarakat  untuk membudayakan pembangunan secara positif yang berteraskan prinsip dan nilai-nilai  murni kemanusiaan.

Pengertian masalah moral pelajar
Secara umumnya masalah moral  merangkumi berbagai perlakuan  negatif anggota  masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan  dalam sesuatu masyarakat ataupun Negara atau lebih khususnya institusi sekolah.

Statistik Gejala Moral Pelajar
 Isu moral di kalangan pelajar  sudah kerap diperkatakan tetapi sehingga kini masalah serius ini masih belum mampu dibendung, malah dilihat semakin berleluasa di kalangan pelajar sekolah.
Kerajaan sendiri menerusi kementerian dan agensi yang berkaitan serta badan bukan kerajaan (NGO) melalui pelbagai aktiviti telah merancang dan merangka strategi bagi mengatasi masalah ini.
Terbaru pendedahan pembabitan pelajar sekolah dalam jenayah yang memperlihatkan peningkatan sejak tiga tahun lalu dengan purata 200 kes dan 120 tangkapan setiap bulan begitu membimbangkan.
Ketua Polis Negara, Tan Musa Hassan dilaporkan berkata bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, purata 121 pelajar ditangkap setiap bulan kerana terbabit dalam 1,048 kes jenayah.
Dalam hal ini siapakah yang patut disalahkan, pelajar, ibu bapa, guru, masyarakat atau proses pembangunan itu sendiri?.
Mengulas perkara itu, Timbalan Pengerusi Biro Anti Dadah dan Gejala Sosial Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Ir Ikhsan Shamsuddin berkata dalam masalah ini sebenarnya semua pihak perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing.
Jelasnya sekarang bukanlah masa untuk menunding jari meletakkan beban ini di atas bahu satu-satu pihak sahaja.
Tambah beliau lagi masalah gejala sosial di kalangan remaja terutama pelajar sekolah ini saling berkaitan antara ibu bapa, pihak sekolah, masyarakat, NGO mahu pun parti-parti politik yang ada di negara ini.
"Selain didikan dan pemerhatian serius dari pihak keluarga penglibatan secara serius dalam aktiviti ko-kurikulum dan pasukan seragam sekolah juga dilihat sebagai salah satu pendekatan terbaik untuk mendidik para pelajar lebih berdisplin dan seterusnya menghindarkan mereka dari terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral.
"Sebab itu kita menyokong penuh tindakan Kementerian Pelajaran yang kini memberi perhatian serius terhadap pembabitan pelajar dalam aktiviti ko-kurikulum menerusi sukan dan pasukan beruniform.
"Dengan cara ini pembangunan sahsiah pelajar akan lebih seimbang antara pencapaian akademik dan kegiatan luar yang mampu meningkatkan lagi tahap disiplin di kalangan pelajar", katanya.
Namun tegas beliau lagi, tanggungjawab ini tidak boleh dilepaskan sahaja kepada pihak sekolah kerana masalah ini memerlukan komitmen pelbagai pihak terutama para ibu bapa.
"Dalam beberapa kajian yang telah dilakukan sebelum ini dan gerakan turun padang yang dilakukan, kita mendapati kebanyakan pelajar yang terlibat dalam kes jenayah ini adalah datangnya dari keluarga yang pincang dan bermasalah.
"Pelajar berkenaan tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada ibu bapa. Kesan dari keadaan itu pelajar terbabit sering mencari satu jalan penyelesaian sendiri yang akhirnya memerangkap diri mereka untuk terlibat dalam kegiatan jenayah", ujarnya.
Justeru katanya lagi, sudah sampai masanya untuk semua pihak berganding bahu dan memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk bersama-sama menangani masalah ini.
"Golongan remaja khususnya pelajar merupakan aset negara untuk memacu kejayaan bukan sahaja dalam sektor pendidikan tetapi untuk membantu negara menghadapi cabaran yang akan datang terutama menjelang W2020 kelak.
"Sebab itulah pentingnya pendekatan kepada aspek disiplin di kalangan mereka. Jika asasnya tidak kukuh, maka jati diri mereka akan mudah longlai dan goyah sekaligus mendorong mereka untuk terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral seperti dadah dan gengstrisme", katanya

 Soalan (b)
Pilih mana-mana DUA isu moral di sekolah dan huraikan faktor-faktor yang menjadi punca masalah tersebut. Jelaskan bagaimana anda sebagai seorang guru pendidikan moral, dapat menangani masalah-masalah tersebut.

Dua isu moral yang menjadi tumpuan ialah vandalism dan merokok.
Vandalisme
Faktor-faktor Berlakunya Vandalisme
1. Pengaruh Rakan Sebaya
Pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan vandalisme. Golongan remaja biasanya lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan vandalism merupakan remaja dalam kumpulan, Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya.

2. Ibu Bapa dan Keluarga
Ibu bapa ialah pendorong kepada sifat vandalisme di kalangan remaja. Contohnya, ketika memandu ibu bapa membuang sampah atau kulit buah- buahan seperti rambutan dan limau di samping tidak menghiraukan papan tanda had kelajuan. Sesetengah remaja yang terjebak dalam gejala vandalisme berasal daripada keluarga bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup negatif. Menurut kajian yang dijalankan vandalisme dendam dilakukan oleh remaja yang ingin bebas dan berlatarkan keluarga yang bermasalah. Selain itu kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara faktor utama mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini.

3. Pengaruh Media Massa
Media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-fi lem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar sewajarnya.

4. Sikap Apati (Tidak Peduli), Individualistik dan Materialistik Masyarakat
Remaja adalah produk sistem sesebuah masyarakat. Masyarakat yang pincang akhirnya akan melahirkan produk yang pincang.Sikap sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud. Menurut kajian masalah vandalisme banyak berlaku di bandar. Golongan remaja menconteng dan merosakkan harta benda awam bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar sukar dikawal. Di kawasan bandar sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa
tanggungjawab terhadap harta benda awam.

Langkah-langkah Mengatasi Vandalisme
1. Penguatkuasaan Undang-undang
Penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak berkenaan. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9 Undang-undang Kecil Vandalisme 1991), sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda yang membabitkan RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun jika sabit kesalahan. Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme. (kerja ini dilakukan di tempat awam seperti pusat membeli-belah). Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pesalah agar menjadi teladan kepada rakan-rakan.

2. Peranan Ibu Bapa dan Keluarga
Ibu bapa berperanan memberi tunjuk ajar kepada golongan remaja tentang falsafah kepentingan harta benda awam. Ibu bapa semestinya menerangkan kepada anak-anak tentang pentingnya menganggap harta benda orang lain sama seperti harta sendiri. Secara tidak langsung sekiranya anak sudah diingatkan dengan falsafah ini maka sudah tentu masalah vandalisme tidak seteruk hari ini. Ibu bapa perlu mengasihi dan mendampingi anak-anak mereka supaya tidak berlaku kebosanan dan kekosongan di hati remaja. Kesedaran perlu diterapkan untuk membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang sebelum melangkah ke alam dewasa.

3. Peranan Masyarakat dan Pihak Sekolah
Setiap anggota masyarakat perlu bersikap prihatin dan memberi perhatian kepada anak mereka agar tidak melakukan perbuatan yang salah ini dan masyarakat perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Masyarakat perlu proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu anggota masyarakat boleh memainkan peranan penting memberikan kefahaman betapa buruknya akhlak vandalisme. Pihak sekolah patut memberi nasihat dan bimbingan kepada pelajar mengenai kepentingan harta awam. Generasi muda perlu diterangkan dengan mendalam tentang tanggungjawab mereka terhadap harta benda awam.
Terangkan kepada pelajar apa perasaan mereka sekiranya beg sekolah mereka diconteng atau dikoyak oleh mereka tidak bertanggungjawab Kesedaran seumpama itu akan sedikit sebanyak memberi gambaran tentang pentingnya sikap dan tanggungjawab.

4. Peranan Media Massa
Selain berfungsi sebagai media hiburan dan sumber maklumat terkini, media massa juga seharusnya ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Media massa memainkan peranan dan mempunyai pengaruh kuat dari segi menanam kesedaran memperoleh kerjasama dan menyampai maklumat tentang vandalisme dalam apa bentuk rancaangan yang tersiar atau yang terdapat dalam media massa. Media massa juga berperanan membantu pihak kerajaan dari segi mengadakan kempen agar masyarakat faham dan menghayati kempen “Harta Awam Milik Bersama” kerana dengan adanya iltizam dan komitmen daripada media massa maka kempen ini dapat direalisasikan keberkesanannya.

Merokok
Ramai orang tahu merokok membahayakan kesihatan malah pada setiap kotak rokok telah tercatat amaran oleh Kerajaan Malaysia bahawa ‘Merokok Membahayakan Kesihatan’ yang acap kali dibaca oleh penghisapnya. Merokok adalah satu isu yang amat serius yang telah mencapai tahap wabak dan tabiat merokok di kalangan belia Malaysia kini semakin meningkat dengan cepat. Malah, menurut Kementerian Kesihatan masalah ini telah mencapai tahap wabak yang memerlukan perhatiah serius daripada kerajaan. Hari ini tidak diragui lagi bahawa tabiat merokok boleh memudaratkan kesihatan. Rokok telah dianggap satu-satunya punca kematian utama yang boleh dielakkan pada masa kini. Tabiat merokok yang boleh membawa pelbagai
penyakit pembawa maut dianggarkan membunuh seorang dalam setiap empat perokok yang menghisap lebih 20 batang rokok sehari. Rakyat Malaysia menghisap sebanyak 23.7 bilion batang rokok setahun dan keadaan ini telah menyebabkan kematian kira-kira 10,000 setahun dengan kadar satu kematian setiap satu jam.

Menular
Merokok kini bukan sahaja menjadi tabiat bagi orang dewasa tetapi telah menular di kalangan remaja dan wanita. Baru-baru ini, Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman memandang serius gejala merokok yang dikatakan semakin menjadi trend di kalangan wanita terutama mereka yang berumur di bawah 18 tahun. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan jumlah perokok wanita di bawah 18 tahun semakin meningkat daripada lima peratus pada 1996 kepada lapan peratus daripada 3.6 juta perokok di negara ini pada 2000. Lebih membimbangkan ialah perokok wanita dewasa diunjurkan akan meliputi 10 peratus daripada jumlah perokok di Malaysia menjelang 2025. Perkembangan ini berpunca daripada kepercayaan sesetengah wanita Malaysia bahawa rokok dapat membantu mereka mengekalkan bentuk badan dan menghalang mereka daripada menambah berat badan. Dianggarkan setiap tahun, sejumlah 49.2 peratus golongan lelaki dan 3.5 peratus wanita menghisap rokok dan 30 peratus daripada golongan belia bawah 18 tahun merokok. Pada 1996, jumlah kematian yang disahkan secara perubatan yang disebabkan kanser ialah sebanyak 4,376 kes. Kematian yang disebabkan oleh kanser paru-paru berada pada kadar 22 peratus atau 405 kes adalah lelaki dan 138 wanita. Kematian akibat kanser mulut menjadi kes kedua tertinggi dengan kadar 8.4 peratus, melibatkan 149 lelaki dan 62 wanita. Sementara kanser perut pula mencatatkan jumlah 5.7 peratus dengan 95 kes adalah lelaki dan 47 wanita. Kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati merokok menyebabkan kematian setiap lapan saat. Malah dianggarkan empat juta kematian dicatatkan setiap tahun akibat penyakit-penyakit yang berkaitan dengan rokok. Bayangkanlah, statistik kematian akibat merokok mengatasi jumlah kematian yang disebabkan AIDS, batuk kering (tuberkulosis), kematian ibu bersalin, kemalangan jalan raya, bunuh diri dan pembunuhan seandainya dicampurkan sekali.
Kaji selidik yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 1996 mendapati seramai 2.4 juta orang atau 24.8 peratus daripada penduduk di Negara ini adalah perokok. Berbanding tempoh sedekat lalu, terdapat pertambahan seramai 700,000 (3.4 juta) perokok direkodkan. Merokok di kalangan lelaki kini meningkat 8.2 peratus iaitu daripada 41 peratus pada 1986 kepada 49.2 peratus dalam tinjauan pada tahun 1996. Jumlah perokok di kalangan lelaki dewasa tempatan sebanyak 49 peratus adalah melebihi jumlah perokok dewasa di negara-negara maju seperti United Kingdom (38%), Amerika Syarikat (35%), dan sweden (30%). Rokok menjadi
penyebab berbagai-bagai penyakit yang memang boleh dielakkan jika manusia tidak menghisapnya. Menurut WHO, jumlah kematian tahunan akibat merokok di seluruh dunia telah
bertambah daripada 1 juta orang pada pertengahan tahun 1960-an kepada 3 juta orang sekarang. Jumlah ini dianggarkan akan meningkat kepada 10 juta orang menjelang tahun 2020. Tabiat merokok mengakibatkan 90 peratus daripada semua kes kanser paru-paru, 75 peratus kes kerosakan paru-paru dan 25 peratus kes sakit jantung di kalangan lelaki berumur di bawah 65 tahun. Setiap batang rokok yang dinyalakan mengeluarkan lebih 4,000 bahan kimia beracun yang
berbahaya dan boleh membawa maut. Antara bahan beracun tersebut termasuk bahan radioaktif (polonium-201), bahan yang digunakan dalam cat (aseton), pencuci lantai (ammonia), ubat
gegat (naftalena), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenik), gas beracun (hidrogen sianida), dan banyak lagi. Nikotin yang terdapat dalam rokok merupakan sejenis dadah yang mengakibatkan ketagihan. Ia sama seperti heroin, amphetamina, dan kokoain yang bertindak balas di dalam otak dan memberikan kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca ketagihan. Nikotina adalah punca serangan penyakit jantung dan strok (angin ahmar). Di Malaysia, sakit jantung merupakan penyebab utama kematian sementara strok pula adalah pembunuh yang keempat. Berdasarkan fakta-fakta di atas, kita seharusnya menjahui dan menghentikan tabiat buruk yang membahayakan ini lebih-lebih lagi umat Islam kerana ia boleh
membawa kebinasaan dan ditegah oleh agama. Pada 23 Mac 1995, Majlis Fatwa Kebangsaan melalui muzakarah kali ke-37 telah memutuskan mengenai pengharaman merokok. Malangnya, fatwa tersebut tidak tersebar secara meluas sama ada di media massa, melelui kutbah jumaat, menyebabkan kebanyakan umat Islam, terutamanya perokok masih menganggap merokok sebagai makruh. Menurut laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, Persatuan Perubatan
Malaysia (MMA) menggesa majlis-majlis fatwa negeri untuk menguatkuasakan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Kebangsaan bahawa merokok adalah haram. Merokok merupakan perbuatan membunuh diri secara beransur-ansur. Ia bukan sahaja membinasakan diri individu yang merokok tetapi turut membinasakan orang lain yang ada di sekitarnya.

Saranan
Terdapat tindakan konkrit yang boleh diambil oleh kerajaan dan ini tidak melibatkan belanjawan tambahan. Saranan yang dibuat di sini akan bergantung kepada sama ada kerajaan mahu menangani masalah merokok atau tidak.




1. Pengawasan Masalah Merokok
Kerajaan mestilah mengambil komitmen yang serius terhadap usaha membendung masalah merokok. Ia perlu menjalankan lebih banyak pengawasan seperti mengawasi aliran merokok di kalangan kanak-kanak, kemasukan ke hospital akibat penyakit yang berkait dengan rokok.

2. Aktiviti Penajaan oleh Syarikat Rokok
Kerajaan seharusnya tidak membenarkan aktiviti penajaan oleh syarikat rokok seperti konsert pop dan parti disko atau aktiviti sukan.

3. Papan Iklan & Tiang Poster
Jenama rokok tidak seharusnya dibenarkan untuk diiklankan pada papan iklan dan tiang poster. Kerajaan seharusnya memainkan peranan yang lebih proaktif dalam mendidik orang ramai dengan mesej perkhidmatan awam iaitu merokok membahayakan kesihatan dalam media massa.

4. Merokok di Tempat Awam
Merokok juga perlu diharamkan di semua restoran dan kedai kopi sama ada ia berhawa dingin atau bukan berhawa dingin.

5. Penjualan Rokok
Rokok tidak seharusnya dijual berdekatan sekolah yang kanak-kanak boleh membeli dengan mudah.

6. Berhenti Merokok
Pesakit yang mengunjungi semua hospital dan klinik kerajaaan mestilah dengan kerap ditanyakan soalan adakah mereka merokok dan jika mereka merokok, mereka hendaklah dirujukkan ke klinik berhenti merokok. Bagi mereka yang telah dikenakan kompaun kerana kesalahan merokok seharusnya diberikan alamat klinik berhenti merokok. Kelab Nafas Baru
perlu ditubuhkan di setiap sekolah.
Terdapat beberapa sebab seseorang itu merokok dan di antaranya ialah:
• Ingin menonjolkan imej yang hebat dan anggun
• Ingin menonjolkan kedewasaan
• Ingin mencuba
• Ingin mengikut tingkah-laku ibu-bapa
• Pengaruh rakan sebaya
• Pengaruh iklan
• Berkemampuan untuk membeli rokok
• Mudah diperolehi di pasaran
Pelajar-pelajar perlu didedahkan mengenai:
(a) Bahaya tembakau kepada kesihatan
(b) Menghisap rokok bukanlah perlakuan yang hebat
(c) Amalan merokok adalah sesuatu perlakuan yang sia-sia
(d) Kaedah-kaedah yang perlu dilakukan untuk mengurangkan tabiat merokok.
(e) Melalui perundangan iaitu salah satu strategi yang berkesan untuk mengawal penggunaan tembakau dikalangan pelajar. Antara peruntukan perundangan tersebut ialah:
• Sekolah merupakan kawasan larangan merokok
• Remaja yang berumur 18 tahun kebawah adalah dilarang merokok
atau mengunyah hasil tembakau atau membeli atau mempunyai dalam
milikannya samada untuk kegunaan sendiri atau tidak, apa-apa hasil
tembakau.
• Perlu meletakkan papan tanda di larang merokok di kawasan sekolah
• Larangan menjual hasil tembakau kepada mereka berumur 18 tahun ke
bawah.

Pendidikan Kesihatan untuk Pencegahan Merokok
Para pelajar perlu didedahkan kepada pelbagai aktiviti pendidikan untuk mengelakkan mereka merokok dan di antara topik-topik pendidikan tersebut adalah:

1. Bahan-bahan kimia yang terdapat di dalam asap rokok kebanyakannya membahayakan Kesihatan.

2. Penyakit-penyakit dan lain-lain yang berkaitan dengan penggunaan tembakau kerana penyakit-penyakit ini memerlukan kos yang tinggi untuk rawatan dan selalunya penyakit ini adalah penyakit kronik yang mungkin akan berterusan sepanjang hayat.

3. Maksud iklan yang disampaikan oleh syarikat rokok perlu diterangkan kepada para pelajar sebenarnya.

4. Pelajar-pelajar sekolah perlu diberitahu mengenai peraturan-peraturan kawalan hasil tembakau supaya mereka tidak melakukan kesalahan.
LA2
Kesimpulan
Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting: ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Dengan kata lain, walau apapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi.
 
Soalan (c)
Satu Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan untuk menyelesaikan masalah sosial remaja. Bincangkan program yang dirancang untuk mengatasi masalah tersebut.


Program Latihan Khidmat Negara

LATAR BELAKANG
1.1 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilaksanakan pada 16 Februari 2004. Idea untuk mengadakan ‘Kerahan Tenaga’ dicetuskan di dalam Kongres Patriotisme Negara pada 24 Oktober 2002 yang dihadiri oleh pelbagai golongan masyarakat termasuklah orang individu, pelajar, tokoh, pesara, ahli korporat, ahli akademik, Polis di Raja Malaysia, Angkatan tentera Malaysia, badan berkanun, ketua jabatan kerajaan, pegawai kanan kerajaan, ahli dewan negara, ahli dewan rakyat (dari kerajaan dan pembangkang), setiausaha parlimen, timbalan menteri,
menteri dan menteri besar. Peserta kongres mahu kerajaan melaksanakan program ‘kerahan tenaga’ ini untuk menyediakan golongan muda bagi menghadapi cabaran dari dalam dan luar negara, menangani perubahan-perubahan seperti teknologi baru, globalisasi, desakan badan bukan kerajaan antarabangsa yang ‘tidak demokratik’ dan lain-lain; menanam semangat kesukarelaan kepada golongan muda memandangkan terdapatnya perkaitan antara ketiadaan
sikap kesukarelaan dengan keadaan persatuan-persatuan yang ‘terkubur’; menyatupadukan golongan muda dari pelbagai kaum memandangkan usaha yang sama melalui sekolah dan institusi pengajian tinggi adalah kurang berjaya, kerana masih ada golongan yang mahu memisahkan anak muda mengikut kaum. Peserta kongres menganggap program ini dapat mempertingkatkan semangat patriotisme golongan muda yang merupakan aset negara. Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kerahan Tenaga (JKMKT) Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kerahan Tenaga (JKMKT) telah ditubuhkan pada 30 Oktober 2002. JKMKT telah mendapatkan maklumbalas daripada rakyat dan membuat berbagai perbincangan dengan persatuan dan pertubuhan sebelum keputusan dibuat tentang pelaksanaan program ini.

Penerapan Nilai-nilai Islam

Islam adalah sebuah agama yang diturunkan Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk menyusun dan mengatur kehidupan umat manusia dalam kesemua aspek semoga mereka dapat menghayati kehidupan yang mulia iaitu kehidupan yang cemerlang, gemilang dan terbilang samada di peringkat individu dan bermasyarakat di dunia dan seterusnya di alam akhirat.
Bahkan perutusan Nabi Muhammad s.a.w. dengan agama Islam adalah dengan tujuan yang amat besar. Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran dengan maksud: “Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”

Di peringkat negara, rahmat mengikut Islam akan dapat dijayakan oleh sesebuah pemerintahan jika nilai-nilai Islam dijadikan garis panduan untuk mentadbir negara. Ini adalah kerana nilai-nilai Islam menepati fitrah kemanusiaan dalam memerintah negara. Bahkan peluang untuk memerintah sesebuah negara mengikut Islam adalah satu amanah (trust) atau tanggungjawab keagamaan yang sangat besar. Pemerintah mempunyai kewajipan semoga sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membawa negara ke mercu kejayaan dalam kesemua aspek kehidupan keperluan rakyat. Menurut al-Farabi, negara yang unggul iaitu al-Madinah al-Fadhilah atau Negara terbaik akan dicapai di mana kebahagian rakyat dapat direalisasikan. Mengikut Ibn Taymiya, jika pemerintah berjaya mengamal keadilan sosial dalam pemerintahan, ia akan menjalin hubungan yang intim di antara pemerintah dengan rakyat. (al-raiwa al-raiya)2
Di samping itu, Al-Quran dengan jelas menuntut semoga taraf pencapaian sesebuah negara yang baik adalah apabila rakyat beroleh kemakmuran dan keampunan Allah s.w.t (Baldatun Tayyibah wa Rabhun Ghafur). Justeru itu strategi ke arah membina tamadun masyarakat (Masyarakat Islam Hadhari) yang unggul berasaskan nilai Islam adalah satu pendekatan yang tepat. Perlu diyakini bahawa pendekatan Islam berbeza dengan pendekatan ideologi ciptaan manusia dalam memerintah dan mentadbir rakyat dalam sesebuah negara. Mengikut prinsip dan objektif syariah3 (maqasid al Syariah), lima perkara pokok kepada penyusunan rakyat bernegara perlu menjadi hala tuju pemerintahan Islam. Mereka adalah seperti berikut:-

i. Menjaga, memartabat dan memperkasakan agama,
ii. Menjaga, memartabat dan memperkasakan akal,
iii. Menjaga, memartabat dan memperkasakan nyawa,
iv. Menjaga, memartabat dan memperkasakan harta,
v. Menjaga, memartabat dan memperkasakan keturunan

Kemampuan sesebuah pemerintahan negara mengatur strategi melalui penggubalan perlembagaan dan dasar serta pembentukan institusi- institusi yang berkaitan untuk menjamin
kesemua lima objektif syariah tersebut tercapai merupakan usaha yang dituntut oleh Islam. Bahkan strategi usaha menuju ke arah matlamat tersebut merupakan usaha ke arah mencapai
keadilan social Keadilan sosial bernegara mengikut Islam dapat difahami sebagai suasana di mana sesebuah negara pada permulaannya dapat menyedia keperluan hidup asasi rakyat melalui
pencapaian faktor-faktor berikut:

i. Pemeliharaan penghayatan keimanan melalui pengamalan nilai agama dalam ke semua
urusan hidup di peringkat individu dan masyarakat.
ii. Menaikkan taraf daya fikir untuk kesemua lapisan masyarakat supaya bebas dari buta
huruf dan memiliki kualiti ilmu yang munasabah untuk mereka menjalankan kehidupan
secara efektif dengan keadaan perubahan masa.
iii. Memberi kebebasan dan jaminan perundangan kepada masyarakat negara berkaitan hak
menyuarakan pandangan dalam semangat yang beradat dan bebas semoga Negara ditadbir menepati semangat musyawarah. (Consultation).
iv. Memberi jaminan kepada kesemua ahli masyarakat semoga mereka bebas untuk  menentu atau berusaha bersama dengan pihak swasta dan kerajaan, untuk berkecimpung
dalam kegiatan ekonomi di dalam dan di luar negara. Justeru itu sumber harta Negara khususnya harta modal perlu sentiasa mengalir dalam sistem ekonomi untuk mencetus peluang kegiatan ekonomi untuk kesemua lapisan rakyat. Ini memerlukan dasar fiscal dan kewangan yang relevan dan dinamik.
v. Negara melalui usahanya membina sebuah tamadun yang utuh semoga dapat member keyakinan dan sikap optimis kepada rakyat bahawa generasi masa hadapan negara akan terus mengecapi suasana yang cemerlang. Bahkan mengikut Islam kecemerlangan adalah sesuatu yang mampu dipertingkatkan dari masa ke semasa. Sebagai agama yang menyentuh kesemua aspek keperluan manusia dan bersifat relevan dengan setiap masa dan tempat, Islam menggariskan beberapa nilai asas (fundamental) yang perlu diberi keutamaan dalam kesemua aspek pemerintahan dan pentadbiran negara. Di antara nilai- nilai asas (fundamental) tersebut adalah iman (faithful to Allah), amanah (trust), adil (just), muafakat (co-operation), toleran (tolerant), musyawarah (consultation), dan cekap (competent). Jika kesemua nilai- nilai tersebut dapat mempentaruhi urusan pemerintahan dan pentadbiran negara, kelima-lima objektif syariah akan dapat dijayakan. Dalam konteks pemerintahan negara, Malaysia sangat bertuah kerana usaha-usaha yang gigih telah diambil untuk menerapkan nilai-nilai asas Islam tersebut di dalam pentadbiran.

Rujukan

1.      Sarlito Wirawan Sarwono (1989). Psikologi Remaja. Jakarta : Rajawali Press.

2.      Sezali Din (1997). Langkah Menangani Gejala Sosial. Akademik Keluaran Khas,m.s. 71.Shahizan,

3.      Tsai Chen Chien dan Saw Hooi Chin (2003). Intrapersonal dan Interpersonal. Bentong : PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.

4.      Shavelson, R.J. , Hubner, J.J. & Stanton, G.C. (1976). Self-Concept Validation of  The Construct Interpretation, Review of Educational Research.

5.      Skinner, B.F. (1953). Science and Human Behaviour. New York : MacMillan.

6.      Steven Box.(tej) Chu Hock Tong (1989). Devian, Realiti dan Masyarakat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

7.      Rahman Sukor ,  Pendidikan Moral: Tahun 1, Open University, Kuala Lumpur, 2009.
 

No comments:

Post a Comment