Blogger Templates

I made this widget at MyFlashFetish.com.

KELUARGA TERCINTA . .

Wednesday, 29 February 2012

HBML3403 LINGUISTIK DAN SOSIOLINGUISTIK

KERTAS KERJA

Kepentingan Ilmu Linguistik Dalam Kehidupan Masyarakat






















                 Pendahuluan : Ilmu Linguistik




LINGUISTIK Melayu memperkenalkan bidang linguistik yang begitu luas kepada umum. Linguistik Melayu meliputi keseluruhan aspek yang berkaitan dengan bidang linguistik Melayu atau kajian bahasa Melayu iaitu teori, aplikasi dan antara disiplin.

Kajian linguistik dapat diolahkan melalui tiga paksi utama, dengan titik hujungnya dihuraikan di bawah:
Sinkronik lwn Diakronik: Linguistik sinkronik (huraian) adalah berkenaan dengan bentuk sesuatu bahasa pada masa yang tertentu; sebaliknya, linguistik diakronik (sejarah) mengkaji perubahan-perubahan yang berlaku dalam sebuah bahasa atau keluarga bahasa dengan berlalunya masa.

Teori lwn Gunaan: Linguistik teori (atau am) adalah berkenaan dengan rangka-rangka untuk memerihalkan bahasa-bahasa dan teori-teori individu dari segi aspek-aspek bahasa yang sejagat, manakala linguistik gunaan mempergunakan teori-teori ini untuk bidang-bidang yang lain.

Konteks lwn Autonomi: Linguistik konteks adalah berkenaan dengan tempatnya bahasa di dunia ini: fungsi sosialnya, bagaimana ia diperoleh, bagaimana ia dihasilkan dan dikesan. Linguistik autonomi atau bebas mengolahkan bahasa semata-mata untuk tujuan sendiri, selain daripada eksternaliti-eksternaliti yang berkait dengan sesebuah bahasa. Kekadangnya, istilah-istilah makrolinguistik dan mikrolinguistik dipergunakan untuk istilah masing-masing bagi dikotomi ini.

Berdasarkan dikotomi-dikotomi ini, cendekiawan-cendekiawan yang hanya merujuk kepada diri dengan mudah sebagai ahli linguistik atau ahli linguistik teori tanpa sebarang pembatasan, cenderung melibatkan diri dalam linguistik autonomi, teori, dan sinkronik yang telah diakui sebagai teras disiplin ini.

Teori Linguistik sering dibahagikan kepada sebilangan bidang yang berasingan untuk dikaji dengan lebih kurang tersendiri. Bahagian-bahagian berikut kini telah diperakui secara meluas:
-Fonetik ialah kajian bunyi-bunyi bahasa manusia.
-Fonologi atau fonemik ialah kajian pola-pola bunyi asas bagi seseuatu bahasa.
-Morfologi ialah kajian struktur dalaman bagi perkataan-perkataan.
-Sintaksis ialah kajian bagaimana perkataan-perkataan digabungkan untuk membentuk ayat-ayat yang bertatabahasa.
-Semantik ialah kajian makna perkataan-perkataan semantik leksikal dan bagaimana perkataan-perkataan digabungkan untuk membentuk ayat-ayat yang bermakna.
-Pragmatik ialah kajian bagaimana pengungkapan (baik secara literal, mahupun secara kiasan) digunakan dalam perbuatan-perbuatan komunikasi.
-Linguistik sejarah ialah kajian bahasa-bahasa yang hubungan sejarahnya telah diakui melalui persamaan dalam perbendaharaaan kata, pembentukan kata, dan sintaksis.
-Tipologi linguistik ialah kajian ciri-ciri tatabahasa yang digunakan merentasi semua bahasa manusia.
-Silistik linguistik ialah kajian gaya dalam bahasa-bahasa.
-Analisis wacana ialah kajian ayat-ayat yang disusun menjadi teks.














                          Kepentingan Ilmu Linguistik Dalam Kehidupan Masyarakat
   
                                                          

1) Pemupukan nilai
Ilmu lingustik sangat memainkan peranan penting terutama dalam usaha memupuk nilai-nilai murni dalam masyarakat seperti kejujuran, kerjasama, keihklasan dan seumpanya. Ahli bahasa bertanggungjawab membimbing masyarakat dan ia tuntutan kepada ilmuwan. Begitu juga dalam pendidikan, kita mengajar bahasa bukan sekadar untuk membolehkan anak didik cekap berkomunikasi. Kecekapan berkomunikasi tidak sepatutnya dinilai semata-mata daripada sudut kepetahan berbicara. Ada aspek nilai, budaya dan agama yang mesti ditekankan.

Linguistik adalah bahagian penting dalam diri manusia dan letaknya pada akal. Tingkah laku dapat diperoleh kemahirannya melalui latihan berulang kali tetapi ilmu linguistik bukan saja membabitkan latihan fizikal seperti bertutur dan menulis dengan betul, malah membabitkan penyemaian sistem nilai, budaya dan persepsi. Isu ini sebenarnya adalah salah satu isu yang tercakup dalam kajian falsafah bahasa.

2) Membentuk Insan
Dalam huraian ahli falsafah Islam, linguistik, bersama-sama akal, membentuk konsep diri 'insan'. Istilah haiwan 'natiq dan rational animal' yang digunakan untuk merujuk kepada hakikat manusia, berkait rapat dengan bahasa kerana istilah natiq yang terbit daripada akar kata nutq merujuk kepada akal dan linguistik. Maksudnya, akal dan ilmu lingusitik adalah dua unsur yang membentuk konsep diri manusia dengan pengertian pemilikan kedua-dua unsur itu yang membezakan manusia daripada makhluk lain.

Akal dan linguistik menjadi bahagian dalam diri yang batin, iaitu diri yang mengawal dan mengarahkan segala gerak geri dan tindak-tanduk batin, daripada anggota tubuh. Gambaran bagaimana diri batin menguasai yang zahir digambarkan oleh pujangga Melayu dalam ungkapan. 'Ikut kata hati mati; ikut rasa binasa'. Ilmu linguistik sebagai bahagian diri yang batin menjadi alat untuk dua proses utama akal.

 Ilmu linguistik menzahirkan segala idea dan perasaan dalam akal hingga terbit dalam bentuk lisan atau tulisan, dan dengan demikian idea serta perasaan dapat difahami, ditanggap dan diberi reaksi oleh khalayak. Ilmu linguistik yang menterjemah, mentafsir dan menaakul idea atau perasaan yang diterima oleh seseorang daripada lisan atau tulisan pihak lain ke dalam akal hingga dapat pula akal merumuskannya dan mungkin pula menzahirkan reaksi. Inilah proses yang penting yang memungkinkan manusia saling berkongsi ilmu, maklumat, idea dan perasaan. Inilah juga proses yang memungkinkan berlangsungnya pewarisan sistem nilai, unsur kebudayaan dan seluruh sistem kehidupan bermasyarakat dari generasi ke generasi.

3) Mengangkat Martabat bahasa
Ilmu Linguistik yang dipelajari secara bersungguh-sungguh dan mendalam mampu mengangkat martabat bahasa kebangsaan kita. Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) berkongsi pandangan dan bersetuju sepenuhnya dengan rencana Datuk Rejal Arbee dalam Berita Harian, Khamis 23 September 2010. Itulah juga sebenarnya pendirian PLM sejak sekian lama penubuhannya dan tanpa bermusim. Perlu diingat bahawa bahasa Melayu bukannya bahasa kebangsaan orang Melayu seperti tanggapan pihak tertentu seperti zaman sebelum merdeka tetapi bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia yang sudah 53 tahun merdeka.

Sememangnya apa saja acara atau majlis peringkat kebangsaan dan membabitkan mana-mana pemimpin korporat, hatta menteri sepatutnya menghormati bahasa kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu dalam ucapan, atur cara, buku program, bahan cetakan, pengumuman dan sebagainya.

Seperti yang pernah dinyatakan,  PLM menganggap sesiapa saja yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam acara rasmi di negara ini, mereka sebenarnya memang dapat dianggap tidak patriotik kerana tidak menghormati bahasa rasmi negara ini seperti dalam semangat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan tidak memiliki rasa megah bahasa akan bahasa kebangsaan berkenaan.

Apakah antara unsur penting yang membentuk negara ini atau dapat dianggap jati diri negara ini, membezakan negara ini daripada negara lain selain budaya dan sebagainya?  Tentulah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi antara unsur penting berkenaan. Lima puluh tiga tahun satu tempoh sangat panjang. Di manakah negara lain di dunia ini yang warga negaranya tidak fasih atau tidak menghormati bahasa kebangsaannya sendiri dapat kita temui?  Kita dapat menemuinya di beberapa negara termasuk di Afrika Selatan yang masih mengagungkan bahasa penjajahnya sekalipun mereka tetap terkenal sebagai negara miskin dan mundur.

4) Proses Mendapatkan Ilmu
Yang terpenting daripada segala peranan ilmu linguistik ialah peranannya sebagai wahana pemerolehan dan pengembangan ilmu. Tamadun atau peradaban timbul hanya dalam kalangan bangsa yang berilmu dan menghormati serta mengamalkan ilmu. Al-Farabi, al-Ghazali dan beberapa ahli falsafah Islam yang lain menegaskan peranan ilmu linguistik dalam proses pemerolehan ilmu. Apabila kita menerima gagasan bahasa merentas kurikulum yang diketengahkan oleh ahli pendidikan Barat, sebenarnya itulah gambaran mengenai peranan linguistik  dalam soal pemerolehan dan pengembangan ilmu.

Maka itu, pendidikan ilmu linguistik perlu dipertalikan dengan tujuan itu, bukan semata-mata pemberian kemahiran  tanpa pengayaan ilmu anak didik. Demikian pula, proses pendidikan keseluruhannya perlu dapat memanfaatkan ilmu linguistik untuk memberi ilmu secara berkesan dan selanjutnya membolehkan pelajar menjadi pengembang ilmu yang berkesan.



5) Penggunaan Ilmu Linguistik dalam Pengaturcaraan Komputer
Banyak bidang linguistik gunaan pada hari ini melibatkan penggunaan komputer secara eksplisit. Sintesis pertuturan dan pengecaman pertuturan menggunakan pengetahuan fonetik dan fonemik untuk memberikan antara muka suara kepada komputer. Penggunaan linguistik pengiraan dalam penterjemahan mesin, penterjemahan dibantu komputer, dan pemprosesan bahasa sejadi merupakan bidang-bidang yang amat berhasil pada tahun-tahun kebelakangan ini disebabkan oleh kuasa perkomputeran yang semakin meningkat. Pengaruhnya telah mempunyai kesan yang besar kepada teori-teori sintaksis dan semantik, kerana pemodelan teori-teori sintaksis dan semantik dengan menggunakan komputer memaksa teori-teori menjadi operasi-operasi boleh hitung dan memberikan asas matematik yang lebih ketat.

6) Kepentingan Ilmu Linguistik kepada Para Pendidik
Para pendidik berperanan sebagai penyampai ilmu. Penguasaan ilmu linguistik sangat penting. Bagaimana seorang guru boleh mendidik anak muridnya, andainya guru sendiri tidak mengusai bidang tersebut. Profesion keguruan yang berteraskan kepada ilmu memerlukan guru memupuk minat diri sendiri untuk mencintai ilmu pengetahuan dan mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Revolusi yang berlaku dengan begitu pesat dalam pelbagai bidang termasuklah
pendidikan dan perguruan, menuntut para pendidik supaya peka dan menyiapkan diri dengan pelbagai ilmu terutamanya ilmu linguistik.

Profesion keguruan tidak mungkin dapat dimartabatkan sekiranya guru tidak mempunyai minat dan kecenderungan untuk meningkatkan pengetahuan dan menjadikan budaya belajar serta membaca sebagai satu amalan yang penting bagi mengukuhkan imej dan memartabatkan profesion perguruan (Abd. Rahim, 2005). Seseorang guru itu boleh mengumpul maklumat mengenai pengajarannya dan mengambil usaha menambahbaikan sesetengah daripada aspek pengajarannyanya setiap kali mengajar (Khairulniza, 2007). Melalui cara ini guru-guru dapat memperbaiki banyak kelemahan dan menambah “resepi” dalam pengajarannya agar lebih baik dan menarik.







Cadangan Dan Rumusan
   
                                                          

Ilmu linguistik yang dikurniakan oleh Allah swt. hendaklah kita syukuri sebagai nikmat yang besar dengan berusaha mengembangkan ilmu dan tamadun kita dalam bahasa sendiri melalui cabang-cabang linguistik kerana ilmu dan sesuatu ajaran lebih mudah diterima apabila disampaikan dalam bahasa sendiri. Oleh sebab itulah negara yang bukan Islam pun, seperti Jepun, Korea, Republik Rakyat China, Jerman dan Percancis tetap mengusahakan pembangunan dengan mengutamakan penggunaan bahasa sendiri, melalui Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan, berjaya melahirkan jutaan tenaga pakar dalam pelbagai bidang yang menyumbangkan fikiran dan tenaga kepada pembangunan negara dalam semua aspek kehidupan. Oleh itu, eloklah kita terus mengupayakan keutuhan dan pengayaan bahasa kita dalam segenap bidang ilmu khususnya dalam cabang ilmu linguistik.













(SOSIOLINGUISTIK)

… Hubungan bahasa dan masyarakat sangat erat. Bahasa adalah cerminan budaya dan akal budi manusia dan penuturnya. Bahasa bukan sekadar media komunikatif semata-mata tetapi bahasa adalah lambang jati diri bangsa  (Arba’ie Sujud :2009).

Berasaskan pernyataan tersebut, hasilkan satu kajian ilmiah berhubung tentang keprihatinan rakyat Malaysia terhadap penggunaan bahasa Malaysia. Laporan kajian perlu mengambil kira beberapa perkara antaranya:
(i)                 Pengenalan dan latar belakang kajian
(ii)               Objektif Kajian
(iii)             Sampel/ responden kajian
(iv)             Hasil/ dapatan  kajian
(v)               Cadangan dan rumusan
                                                                                                      


















ULASAN

PELAKSANAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
BAHASA MELAYU : KAJIAN KES DI SEBUAH SEKOLAH RENDAH
DI DAERAH JERANTUT,  PAHANG DARUL MAKMUR




PENDAHULUAN
“Bahasa Jiwa Bangsa” . Inilah slogan yang sinonim dengan seluruh rakyat Malaysia.  Bahasa merupakan alat perhubungan yang penting dalam kehidupan manusia. Melalui bahasa,  seseorang itu dapat berkomunikasi dengan orang lain untuk menyampaikan kehendak, perasaan, pendapat, pengalaman, buah fikiran, pengetahuan, mendapatkan informasi, menambahkan ilmu
pengetahuan, memahami orang lain dan sebagainya (Raminah Hj. Sabran, 1993). Pembelajaran bahasa secara formalnya berlaku di sekolah. Oleh itu, guru-guru bahasa Melayu memainkan peranan yang utama bagi memastikan murid-murid di sekolah dapat mempelajari bahasa Melayu.

Kepentingan terhadap penguasaan bahasa lebih ketara dalam bidang pendidikan kerana bahasa menjadi medium utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bahasa digunakan dalam interaksi lisan antara guru dengan murid. Hal ini jelas dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia (Melayu) sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Banyak aktiviti dan kemahiran yang menekankan aspek-aspek kemahiran bahasa dalam sukatan pelajaran.

Perkara ini diberi tumpuan utama bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran bahasa Melayu iaitu membolehkan murid-murid mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Oleh itu, guru bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan murid-murid mereka dalam penguasaan bahasa Melayu. Ab. Rahman Ab. Rashid, Yap Kim Fatt dan Ab. Rahim Selamat (1997) menggariskan empat peranan guru bahasa Melayu iaitu sebagai perancang pengajaran dan pembelajaran; penggerak dan pendorong pengajaran dan pembelajaran; pembimbing murid; dan pemupuk semangat dan pembentuk sahsiah murid. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah (Sharbi Ali, 2005) dengan jelas menyenaraikan matlamat dan objektif mata pelajaran Bahasa Melayu. Matlamat yang hendak dicapai dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah untuk melahirkan murid yang berketrampilan berbahasa dan menghargai serta menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu, sesuai dengan semangat Rukun Negara dan Falsafah
Pendidikan Negara. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah (Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM], 1983) telah menjelaskan objektif pengajaran bahasa Melayu adalah untuk membolehkan kanak-kanak bertutur dan mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan bahasa yang sesuai dalam pelbagai keadaan perhubungan. Sementara dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah (Sharbi Ali, 2005) juga menggariskan 11 objektif yang merangkumi beberapa kemahiran berbahasa.

















LATAR BELAKANG MASALAH

Bahasa adalah asas kepada perhubungan.  Maka sudah menjadi tanggungjawab kepada guru untuk memastikan pelajar-pelajarnya mahir berbahasa Melayu. Terpikul tugas yang sangat berat di bahu kalangan guru. Kajian Seman Salleh (2005) menunjukkan semua guru yang menjadi responden dalam kajiannya berminat dan seronok mengajarkan bahasa Melayu kerana mereka menganggap bahasa Melayu sebagai mata pelajaran yang mudah untuk diajar. Tanggapan ini diterima oleh pentadbir sekolah dan tindakannya ialah menentukan guru bahasa Melayu dalam kalangan guru yang bukan opsyen bahasa Melayu. Amalan ini berlaku disebabkan guru besar menganggap mata pelajaran bahasa Melayu boleh diajar oleh guru-guru lain selain guru yang beropsyen bahasa Melayu.

Kebanyakan sekolah khususnya sekolah-sekolah di pedalaman menghadapi masalah kekurangan guru. Kekangan ini mungkin menyebabkan guru-guru yang mempunyai opsyen tertentu tidak ditempatkan di sekolah-sekolah berkenaan. Hal ini menyebabkan sekolah menghadapi masalah untuk menentukan guru mata pelajaran yang sesuai. Kekurangan guru yang berkelayakan untuk mengajarkan bahasa Melayu menyebabkan pihak pentadbir terpaksa mengambil tindakan dengan menempatkan guru-guru yang memilki opsyen lain untuk mengajar bahasa Melayu.

Ada guru-guru agama, sains, matematik dan sebagainya yang mengajar bahasa Melayu di sekolah. Perkara ini mungkin dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru tetapi tindakan ini tidak dapat membantu meningkatkan penguasaan berbahasa dalam kalangan murid. Guru-guru ini kebanyakannya kurang menguasai aspek-aspek bahasa dan ini menimbulkan masalah apabila mereka menyampaikan pengajaran.






OBJEKTIF KAJIAN
i. Kajian ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pihak yang terlibat secara langsung ataupun secara tidak langsung dengan pengajaran bahasa Melayu di sekolah rendah.

ii. Kajian ini dapat dimanfaatkan oleh jabatan pelajaran dalam merancang dan menyusun penempatan guruguru di sekolah.

iii. Kajian ini juga diharapkan dapat memberi manfaat kepada pihak pentadbir sekolah terutamanya dalam menempatkan guru-guru di sekolah. Seterusnya, berdasarkan kajian ini, pihak pentadbir sekolah mungkin boleh menggariskan kriteria tertentu sebelum menyusun dan menentukan guru-guru mata pelajaran khususnya mata pelajaran Bahasa Melayu.

iv. Kajian ini juga diharapkan dapat membantu guru-guru untuk menilai kesediaan diri mereka sebelum sesuatu pengajaran dilaksanakan. Selain itu, guru-guru juga diharap dapat menilai dan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid-murid mereka. Aspek-aspek kekuatan dan kelemahan ini diharap dapat membantu guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik.


SAMPEL/RESPONDEN KAJIAN
SK Cenderawasih mempunyai empat orang guru bahasa Melayu. Empat orang guru inilah yang dijadikan sampel kajian.








HASIL/DAPATAN KAJIAN
Profil Responden
Tiga orang guru lelaki dan seorang guru perempuan menjadi sampel kajian . Kajian menunjukkan seorang responden berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tiga orang responden berkelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Dari segi pengalaman mengajar, dua orang responden telah 6 hingga 10 tahun mengajar sementara dua orang lagi berpengalaman selama 11 hingga 15 tahun. Jadual 1 juga menunjukkan hanya seorang responden yang tiada pengalaman mengajar bahasa Melayu tetapi dua orang responden mempunyai pengalaman selama 11 hingga 15 tahun dan seorang responden mempunyai pengalaman selama 6 hingga 10 tahun.

Tiga orang responden mempunyai pengkhususan dalam pengajian Melayu dan seorang responden dalam pengajian agama. Dua orang responden yang mengajar bahasa Melayu didapati tidak pernah menghadiri apa-apa kursus yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu, seorang responden pernah menghadiri kursus tetapi kurang daripada tiga kali sementara seorang responden menghadiri lebih daripada 20 kali. Bagi bilangan kelas yang diajar, didapati tiga orang responden mengajar sebanyak 2 kelas dan hanya seorang responden yang mengajar satu kelas. Selain daripada mengajar bahasa Melayu, responden juga mengajar mata-mata pelajaran lain seperti Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Matematik, Pendidikan Seni dan Muzik.

Kesediaan Guru
Semua responden berminat mengajar bahasa Melayu. Data menunjukkan tiga orang responden sangat bersetuju (75%) dan seorang responden bersetuju (25%) dengan kenyataan bahawa mereka berminat untuk mengajar bahasa Melayu. Selain itu, seorang responden (25%) kurang pasti sama ada beliau dapat membantu murid untuk meningkatkan pengetahuan bahasa Melayu atau sebaliknya.



Kesediaan Murid  
Kesediaan murid di SK Cenderawasih dalam mata pelajaran Bahasa Melayu menurut persepsi responden, berminat mempelajari bahasa Melayu. Tiga orang responden (75%) bersetuju bahawa murid-murid mereka berminat mempelajari bahasa Melayu kecuali seorang responden yang kurang pasti.

Responden juga bersetuju bahawa murid-murid secara majoritinya tidak lemah dalam bahasa Melayu kecuali seorang responden yang menyatakan majoriti muridnya lemah dalam bahasa Melayu. Selain itu, 75 peratus responden bersetuju bahawa majoriti murid mereka telah mengenal huruf, mengenal suku kata, dapat membatangkan perkataan dan menggabungkan suku kata. Sebanyak 75 peratus responden juga bersetuju bahawa murid-murid mereka aktif dalam aktiviti, suka bertanya, sukar untuk menjawab soalan dan murid hanya bertanya apabila mereka menghadapi masalah.

Pengajaran dan Pembelajaran
75 peratus responden tidak menghadapi masalah untuk mengawal kelas kecuali seorang responden yang tidak pasti. Responden juga mempunyai masa yang cukup untuk merancang pengajaran dan melaksanakan pengajaran sebagaimana yang dirancangkan. Sebanyak 75 peratus responden juga bersetuju bahawa bahan bantu mengajar (BBM) yang disediakan di sekolah mencukupi tetapi mereka tidak tahu untuk menggunakannya secara maksimum dan berkesan. 75 peratus responden menganggap penggunaan bahan tidak banyak membantu murid dan mereka lebih suka menggunakan buku teks. Walau bagaimanapun, semua responden bersetuju bahawa pengajaran yang dijalankan berfokus kepada peperiksaan.







CADANGAN DAN RUMUSAN
Cadangan
1. Pengajaran seharusnya melibatkan lebih ramai murid.
2. Murid-murid yang lemah perlu dilibatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mengikut ‘kemampuan’ mereka.
3. Penghantaran murid-murid lemah ke kelas pemulihan perlu dipantau supaya mereka dapat menguasai kemahiran-kemahiran tertentu dalam masa yang ditetapkan.
4. Penggunaan bahan bantu mengajar perlu dipelbagaikan supaya murid-murid tidak jemu.

Rumusan
Keyakinan Guru Untuk Meningkatkan Pengetahuan Murid
Berdasarkan kajian, terdapat tiga orang guru yang begitu yakin mengajar Bahasa Melayu kerana ia memang merupakan opsyen mereka. Guru yang kurang yakin mungkin kerana mata pelajaran tersebut bukan opsyen mereka.

Mengajar Bahasa Melayu Memerlukan Persediaan Awal
Persediaan awal sebelum proses pengajaran dan pembelajaran amat penting. Persediaan ini menentukan berjaya atau tidak sesuatu aktiviti pembelajaran itu dilaksanakan.  Walau bagaimanapun, data pemerhatian menunjukkan persediaan yang lebih terancang terutama sebelum sesuatu pengajaran tidak dilaksanakan oleh guru. Perancangan dari segi aktiviti, penyediaan objektif, bahan bantu mengajar dan penggunaannya secara berkesan tidak jelas. Dalam merancang persediaan awal, guru kemungkinan merancang bahan yang akan digunakan tetapi mereka tidak menetapkan langkah-langkah pengajaran yang tersusun kerana objektif pengajaran tidak dinyatakan dengan jelas.

Pengajaran Berfokuskan Peperiksaan
Pengajaran juga sangat berfokus kepada peperiksaan menjadikan suasana pengajaran kurang interaksi yang berkesan. Murid hanya dideahkan dengan format-format peperiksaan tanpa menghiraukan tahap komunikasi pelajar sama ada di peringkat baik atau sebaliknya.


Rujukan

Abdullah Yusof. (2010). Linguistik dan Sosiolinguistik. Kuala Lumpur: Open Universiti Malaysia.

Awang Sariyan, (2001). Pendidikan Bahasa Melayu di Malaysia: Pemenuhan Suatu Idelisma. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia.

Awang Sariyan. (2002).Ceritera Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia.

Awang Sariyan. ( 2004 ). “ Strategi Memartabatkan Bahasa Melayu’’. Kertas edaran dalam Mesyuarat Memartabatkan Bahasa Melayu, Kementerian Pelajaran, 21 Disember 2004.

Nik Safiah Karim. ( 1992). Beberapa Persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majalah Pelita bahasa Mac 2000. Dewan Bahasa dan Pustaka

Majalah Dewan Budaya November 1999. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zalina Yahya . Petikan Akhbar.’’Bahasa Baku Pastikan Keseragaman Penyampaian Ilmu’’. 5 Januari 2000.

Zalina Yahya. Petikan Akhbar Berita Harian.’’Memasyarakatkan dan Menghayati Sastera Kita’’.3 Jun 2000

No comments:

Post a Comment